Faezah beri alasan baju 'terdedah', sesuai cuaca panas ketika tonton perlumbaan GP
BAKAT baru dunia lakonan, Noorfaezah Md Elai atau Faezah Elai, 27, yang kini terus menjadi perhatian produser dan pengarah, sekali lagi dihimpit kontroversi apabila dikatakan berpakaian seksi sehingga menjolok mata ketika dia bersama seorang teman, difahamkan sebagai kekasihnya, dilihat di tempat awam ketika menyaksikan Perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang, Oktober lalu.
Faezah yang sering kelihatan seksi ketika menjayakan fotografi sebelum ini pernah dikritik hebat apabila muncul menerusi filem pertamanya, Otai apabila dia dikatakan berlakon seperti 'kayu' sehingga dia dilabel sebagai perosak filem, namun cacian itu tidak melemahkan semangatnya, sebaliknya dia terus berusaha keras memahat nama sehingga tak menang tangan menerima tawaran lakonan sejak kebelakangan ini.
Justeru, apabila Faezah sekali lagi menjadi kritikan media massa, dia tidak mudah melatah, sebaliknya menjadikan komen itu sebagai peringatan dan pengajaran berguna kepadanya.
Menerusi B*Pop terbitan 8 November lalu di ruangan pojok, Alkisah... kelolaan Raja Nurfatimah Mawar dengan judul artikel 'Faezah Elai seksi tak bertempat!', dia diselar apabila dikatakan berpakaian seksi di tempat awam tanpa mengambil kiri status dirinya sebagai artis dan selebriti yang pasti mengundang perspektif negatif masyarakat, selain dilihat mesra bersama seseorang yang difahamkan sebagai kekasihnya.
Antara lain artikel itu mendakwa: "Faezah nampak tak selesa apabila diperhatikan ramai, pakai baju seperti tak cukup kain, mesti banyak mata yang memandang. Melihat susuk tubuh Faezah yang kecil molek dan seksi, tentu terbeliak biji mata jantan. Faezah pada hari itu dikatakan berpakaian fesyen ala berkemban dan nampak mesra dengan kekasihnya. Bagaimanapun, Faezah langsung tidak menoleh ke belakang dan hanya menunduk saja."
Tambah artikel itu lagi, Faezah kenalah jaga penampilan diri, dedah sana sini pergi ke tempat awam memang tak sesuai. Lagi pun, Faezah sudah bergelar artis, pandai-pandailah bawa diri.
Ketika bertemu Faezah di Bangsar, Kuala Lumpur, untuk mendapatkan penjelasannya berhubung dakwaan berkenaan Isnin lalu, dia turut membawa bersamanya baju yang dipakai ketika menyaksikan Perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang itu untuk dinilai sejauh mana tahap seksi yang dikatakan keterlaluan itu.
"Saya akui, pada hari berkenaan, saya menyaksikan Perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang. Itu adalah pertama kali saya menjejakkan kaki di litar berkenaan. Saya difahamkan, tempat itu memang sangat panas. Inilah baju yang saya pakai pada hari itu (sambil menunjukkan pakaian berkenaan). Baju yang saya pakai ini bukan fesyen berkemban!
"Memang saya akui, saya mengenakan pakaian yang agak terdedah, tak berlengan, tapi sesuailah dengan cuaca panas pada hari itu. Tambahan pula saya tidak pernah menganggap diri dikenali ramai, siapalah kenal saya, itulah yang ada di dalam fikiran ketika itu. Saya tak sangka, di luar panas terik, tapi apabila masuk ke dalam, saya duduk di kerusi VIP dan kawasan itu berhawa dingin. Jaket ada di dalam kereta, nak pergi ambil, orang ramai, jauh!," katanya memberi penjelasan.
'Lelaki itu bukan kekasih saya'
Faezah mengakui, dia mempunyai ramai kawan lelaki, justeru lelaki yang dilihat bersamanya pada hari itu bukan teman istimewanya seperti digembar-gemburkan, sebaliknya hanya rakan biasa yang baru saja dikenali beberapa bulan lalu.
"Pada hari itu kami pergi bertiga, dua lelaki dan saya. Namun, kepada mereka yang tidak tahu cerita sebenar, pasti melabel lelaki yang duduk bersebelahan itu adalah teman lelaki saya, padahal kami tidak mempunyai sebarang hubungan istimewa pun. Nak kata kami mesra, jauh sekali.
"Kami pula baru saja kenal, macam mana nak kata kekasih? Apabila dia mempelawa saya ke perlumbaan itu, saya pula tak pernah pergi ke litar berkenaan, kebetulan hari itu saya free tak ada penggambaran, apa salahnya saya ikut?," soal Faezah.
Cerita Faezah lagi, sebaik tamat perlumbaan, cuaca hujan renyai dan dia terus berjalan menuju ke kereta sambil menundukkan kepalanya dan tidak sempat menoleh ke tempat lain. Justeru, bukannya dia sengaja mengelakkan diri daripada dikenali ramai apabila menjadi perhatian umum kerana berpakaian tidak senonoh di tempat awam!
"Justeru, apabila saya dikejutkan dengan artikel yang mempertikai pakaian, sekurang-kurangnya saya sedar, sekali gus memberi pengajaran, apabila masuk ke dalam industri ini, segala apa yang kita lakukan, termasuk cara berpakaian menjadi perhatian orang ramai. Inilah harga yang perlu dibayar apabila bergelar artis. Tapi, saya bukannya artis yang seksi tak bertempat, saya tidak berkemban. Saya masih ada harga diri," katanya lagi.
INFO: Faezah
*GA said: macam2 alasan.. logik ke?? komen2..
kenape x bogel je trus.. ka senang.. hahahha..
ReplyDelete