Thursday, November 26, 2009

Daphne Iking kurus kerana tekanan hidup??

PENAMPILAN terbaru Daphne Iking yang menjadi perhatian pihak media sewaktu malam gala filem My Spy di MidValley, baru-baru ini.

KELIBAT selebriti terkenal, Daphne Iking pada majlis pra tonton filem My Spy, minggu lalu menarik perhatian media.

Melihatkan sosok tubuhnya yang kurus menimbulkan tanda tanya kepada wartawan yang terus mengerumuninya untuk mendapatkan penjelasannya.

Daphne tetap seperti dulu. Ceria dan sungguh mudah didekati biarpun dirinya kini diselubungi masalah rumah tangga yang pastinya bukan satu rahsia lagi.

"Kurus saya bersebab. Saya akui masalah rumah tangga merupakan salah satu penyebab mengapa tubuh saya kurus begini.

"Tetapi, bukan kerana itu sahaja sebaliknya saya sibuk dengan kerja-kerja saya yang tiada kesudahan," katanya membuka bicara dalam nada yang cukup tenang malam itu.

Tanpa selindung, Daphne memberitahu, dia sudah berpisah dengan suaminya, Ryan Chong sejak setahun setengah yang lalu.

Mereka mendirikan rumah tangga pada 27 Januari 2007 dan dikurniakan seorang puteri comel, Isobel Daniella yang sudah pun berusia dua tahun pada 26 November lalu.

Sebelum ini, media sudah menghidu tentang pergolakan rumah tangganya. Namun Daphne menafikan perkara tersebut dan menganggapnya sebagai asam garam dalam dunia perkahwinan.

Riak wajahnya langsung tidak menggambarkan sebarang penyesalan mahupun kesedihan kerana bagi Daphne, apa yang berlaku adalah suratan takdir.

Enggan mengulas lanjut mengenai perpisahan itu, apa yang penting buat Daphne kini adalah tumpuan terhadap karier seninya dan memikirkan soal masa depan anak tunggalnya.

Buat masa ini, Daphne atau nama sebenarnya, Daphne M. Iking sibuk mengendalikan rancangan pencarian model terbaru, Ford Model's Supermodel Of The World Malaysia 2009.

Tidak cukup dengan itu, dia menerima banyak tawaran berlakon filem khususnya selepas membintangi filem My Spy dan Belukar.

"Saya bersyukur kerana masih lagi diberi peluang dan diberi tawaran untuk meluaskan lagi skop seni saya.

"Inilah hikmah dan saya hanya mahu berfikiran positif serta menjalani kehidupan saya dengan semangat baru di samping anak kesayangan saya," kata jelitawan berusia 30 tahun ini penuh makna.

Pada masa yang sama, Daphne juga mengorak langkah sebagai pereka fesyen apabila menjalinkan kerjasama dengan pereka terkenal, Sonny San menerusi jenama Eclipse.

Berkongsi pengalamannya sebagai pelakon, Daphne tidak dapat menyembunyikan keterujaannya itu.

Apatah lagi, My Spy merupakan filem pertamanya dan berlakon di bawah arahan Afdlin Shauki menyeronokkannya.

Jelasnya, tawaran itu diterimanya ketika rancangan The Breakfast Show terbitan ntv7 diberhentikan selama tiga bulan bermula Oktober tahun lalu untuk penjenamaan semula.

Menyedari peluang yang entah bila akan muncul lagi, Daphne menyatakan persetujuannya kepada Afdlin untuk membintangi filem aksi komedi itu apabila menerima tawaran pada bulan Oktober.

Berpuas hati

Berpasangan dengan Carmen Soo yang menjadi pasangan kembar siamnya dalam filem tersebut, baru kini Daphne sedar bahawa dunia lakonan sememangnya cukup mencabar.

Membawakan watak antagonis bernama Jade, walau bagaimanapun bagi Daphne, My Spy memberi peluang kepadanya untuk membuat aksi lagak ngerinya sendiri.

"Aksi yang saya lakukan itu bukanlah secara keseluruhan tetapi ada beberapa babak yang saya fikir sesuai dengan personaliti saya yang lasak.

"Mereka ada menyediakan pelakon lagak ngeri dari Thailand untuk saya tetapi saya cakap kepada Afdlin, saya mahu melakukannya sendiri.

"Ternyata, Afdlin menerimanya dengan terbuka dan saya berpuas hati dengan watak Jade yang memerlukan saya bercakap dalam pelat Cina Hong Kong," ujarnya tentang filem pertama lakonannya itu yang akan mula ditayangkan pada 3 Disember ini.

Bekerja dengan Afdlin juga langsung tidak mendatangkan masalah kepada Daphne kerana suasana kerjanya yang ceria dan selamba.

Dalam masa yang sama, Daphne bakal muncul dengan filem keduanya, Belukar yang dijangka akan ditayangkan sekitar bulan Januari atau Februari depan.

"Saya bersedia menceburi bidang lakonan kerana saya percaya Tuhan sudah menetapkan perjalanan hidup saya dengan menemukan saya dengan Afdlin untuk projek filem ini.

"Kini, saya semakin serius dengan bidang ini dan menantikan skrip dan watak yang mampu mencabar saya," katanya penuh bersungguh.

Antara watak yang cukup diidamkan Daphne adalah watak mak nyah dan transeksual kerana baginya, memiliki pengalaman berdampingan dengan golongan itu mampu menterjemahkan wataknya dengan lebih mendalam.

Alasan Daphne cukup mudah. Dia hanya mahu mengubah stigma lapuk sebahagian daripada masyarakat negara ini yang sering kali memandang serong terhadap golongan itu.

"Mereka ini ada keistimewaannya tersendiri selain memiliki kasih sayang yang cukup kuat dan teguh. Sedih juga apabila golongan ini selalu dipandang rendah dan dipermainkan.

"Kalau saya diberi peluang membawakan watak seperti ini, saya mahu ia dapat memberi impak yang besar serta menyampaikan mesej yang berguna kepada masyarakat," jelasnya penuh mengharap.


*GA said: kesian dia.. harap2 GA x kurus sebab tekanan hidup la kan..

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails