Wednesday, November 25, 2009

Faizal AF4 kena tgkap basah???


KUALA LUMPUR: “Biarlah apa orang hendak tuduh asalkan saya tidak buat jahat kepada sesiapa dan kedua-dua ibu bapa kenal siapa saya,”kata juara Akademi Fantasia musim keempat (AF4), Mohammad Faizal Ramly atau Faizal, mengenai desas-desus dia ditangkap khalwat di kampungnya di Terengganu, baru-baru ini.

Faizal, 25, berkata dia terkejut apabila namanya dikaitkan dengan gosip kononnya seorang artis ditangkap basah tetapi enggan mengambil serius perkara itu.

“Saya tidak ditangkap basah, jadi kenapa hendak takut. Saya tidak tahu bagaimana isu ini boleh timbul sedangkan saya sekarang sibuk menguruskan kerjaya,” katanya yang ditemui di Mont Kiara, di sini, semalam.

Faizal yang kini bernaung di bawah syarikat Alakazam Production Sdn Bhd(Alakazam Production) berkata, perkara paling penting buatnya sekarang ialah memperkembangkan bakat dalam bidang nyanyian dan lakonan.

“Banyak lagi yang perlu saya belajar dalam industri hiburan ini dan saya anggap tuduhan itu umpama cabaran untuk mematangkan saya,” katanya.

Sebelum ini nama Faizal dikaitkan dengan gosip ditangkap khalwat dengan pasangannya di kampung halaman.

Gosip disiarkan di portal hiburan itu tidak menamakan artis terbabit tetapi menyatakan dia menjuarai sebuah program realiti dan pernah dicalonkan sebagai belia contoh.

Mengenai rungutan media mengenai kesukaran menghubunginya, Faizal menjelaskan perkara itu berlaku disebabkan telefon bimbitnya hilang ketika penggambaran filem terbaru Pulau Asmara di Langkawi, baru-baru ini.

“Saya minta maaf kepada pihak yang gagal menghubungi saya tetapi selepas ini,mereka boleh menghubungi saya menerusi Alakazam Production, saya akan memberikan kerjasama terbaik,” katanya.

Faizal turut berterima kasih kepada pengurusan Alakazam Production yang memberi kepercayaan kepadanya untuk berlakon dan merakamkan album terbaru yang dijangka berada di pasaran April tahun depan.

“Walaupun ada banyak cerita mengenai saya sebelum ini tetapi mereka masih memberi kepercayaan dan ia menjadi azimat kepada saya untuk berjaya dalam kerjaya sebagai artis,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Alakazam Production, Datuk Abdul Aziz Singah, berkata pihaknya berminat mengambil Faizal sebagai artis naungan disebabkan komitmen yang diberikan ketika berlakon dalam filem Pulau Asmara.

“Dia berbeza dari gosip yang saya dengar sebelum ini iaitu tidak berdisiplin dan banyak masalah lagi. Faizal sebaliknya sangat berbakat dalam bidang lakonan serta memberi komitmen 100 peratus menjayakan wataknya,”katanya.


**Coment2

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails